Dari Abu Ruqayyah Tamiim bin Aus Ad-Daari radhiyallahu’anhu, sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: ”Agama itu adalah nasihat”. Kami (sahabat) bertanya: ”Untuk siapa?” Beliau bersabda: ”Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin umat islam, dan untuk seluruh muslimin.”
(HR.Muslim)
Kedudukan Hadits
Hadits ini sangat penting, kerana mengandung seluruh agama. Ianya terkandung hak Allah, hak rasul-Nya, dan hak hamba-Nya. Kewajipan penunaian hak-hak tersebut terkandung pada kata nasihat.
Apa yang terkandung dalam "Nasihat" ?
Nasihat, pada asalnya bererti bersih dari campuran atau adanya keserasian hubungan. Pada hadits di atas, nasihat untuk umat secara umum dan para imam bererti kehendak baik dari penasihat kepada yang dinasihat, sebagaimana pengertian yang sering dipakai untuk mendefiniskan nasihat. Adapun nasihat untuk lainnya, sesuai dengan asal katanya, iaitu adanya keserasian hubungan. Di mana masing-masing memberikan hak pihak lain yang mesti ditunaikan.
1. Nasihat untuk Allah.
Adalah menunaikan hak Allah seperti telah tersebut pada pembahasan iman kepada Allah.
2. Nasihat untuk kitab-Nya.
Adalah menunaikan hak kitab-Nya Al-Qur’an, seperti, yakin bahawa Al-Qur’an adalah Kalamullah, mu’jizat terbesar diantara mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada para rasul, sebagai petunjuk dan cahaya. Selain itu juga membenarkan beritanya dan melaksanakan hukumnya.
3. Nasihat untuk Rasul-Nya.
Adalah menunaikan hak Rasulullah, seperti telah tersebut pada makna syahadah Muhammad Rasulullah.
4. Nasihat untuk para imam atau pemimpin.
Perkataan imam atau pemimpin jika disebutkan secara mutlak maka bererti penguasa, dan adakalanya kata imam bererti ulama. Nasihat untuk para imam, meliputi imam dengan kedua-dua pengertian tersebut.
Nasihat untuk penguasa atau pemimpin adalah menunaikan haknya, seperti, taat dalam hal yang ma’ruf, tidak taat dalam kemaksiatan, tunduk dan tidak membangkang dan lain-lain yang merupakan hak penguasa yang telah dijelaskan dalam kitab dan sunnah.
Nasihat untuk ulama adalah mencintai mereka kerana kebaikannya dan jasanya pada umat berkat ilmunya, dan dakwahnya, menjaga kehormatan dan kewibawaannya serta menyebarkan fatwa- fatwanya.
5. Nasihat untuk awam kaum muslimin
Adalah memberikan semua yang menjadi hak mereka demi terwujudnya permasalahan dunia dan akhirat mereka
Semua hak-hak di atas ada yang sifatnya wajib dan ada yang sunnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan