Audio Al Quran Beserta Terjemahan

Listen to Quran

29 Oktober 2009

Hadits Ke-28 - Berpeganglah Kepada Sunnah Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin

Dari Abu Najih ’Irbadh bin Sariyah radhiallahu ‘anhu dia berkata, “Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam pernah menasihati kami dengan nasihat yang menggetarkan hati dan mengalirkan air mata. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, seperti ini adalah nasihat perpisahan, kerana itu berilah kami nasihat”. Beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepada kalian untuk tetap menjaga ketakwaan kepada Allah ‘Azza wa Jalla, tunduk taat (kepada pemimpin) meskipun kalian dipimpin oleh seorang budak Habsyi. Kerana orang-orang yang hidup sesudahku akan melihat berbagai perselisihan, hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunnah Khulafaur Rasyidin yang diberi petunjuk (Allah). Peganglah kuat-kuat sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah ajaran-ajaran yang baru (dalam agama) kerana semua bid’ah adalah sesat.”

(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi, ia berkata, “Hadits ini hasan shahih”)

MENDENGAR DAN TAAT

Mendengar dan taat sama dengan bai’at (berjanji akan ta'at setia). Bai’at kepada penguasa muslim yang sah hukumnya wajib. Kewajipan di sini selama bukan dalam kemaksiatan. Iaitu dalam hal-hal yang harus atau mubah. Kerana kalau imam/pemimpin memerintahkan sesuatu yang wajib maka hakikatnya adalah mendengar dan taat kepada Allah. Dengan demikian perintah imam terbahagi dalam tiga bentuk iaitu:

1. Perintah tersebut merupakan kewajiban syar’i (yang berlandaskan kepada Al Quran dan Sunnah), maka ketaatan di sini merupakan ketaatan kepada Allah.

2. Perintah tersebut sesuatu yang harus atau mubah maka wajib ditaati kerana ini merupakan haknya sebagai pemerintah.

3. Perintah tersebut merupakan kemaksiatan maka tidak boleh ditaati.

TERBENTUKNYA KEPEMIMPINAN DALAM ISLAM

Seorang menjawat sebagai pemimpin Islam diperoleh dengan dua cara:

1. Hasil pilihan, iaitu dipilih oleh pemimpin sebelumnya atau oleh perwakilan umat (pilihanraya).

2. Hasil kudeta (bukan cara dengan kezaliman), iaitu menjadi pemimpin kerana berhasil mengkudeta pemimpin sebelumnya.

20 Oktober 2009

Hadits Ke-27 - Tinggalkanlah Sesuatu Yang Meragukan

Dari Nawas bin Sam’an radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain.”

(HR. Muslim)

Dan dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahu ‘anhu dia berkata: Aku datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata,” Ya.” Beliau bersabda, “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.”

(Hadits hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan)

Al-Birr Adalah Husnul Khuluq

Al-Birr ada dua bahagian iaitu Al-Birr terkait dengan Allah, dan Al-Birr terkait dengan sesama. Al-Birr terkait dengan Allah adalah beriman kepada-Nya, melaksanakan perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya. Al-Birr terkait dengan sesama manusia adalah husnul khuluq iaitu banyak berderma atau bersedekah dan tidak mengganggu kepada sesama manusia.

Dosa

Dosa adalah sesuatu yang membuat bimbang di hati dan tidak suka jika diketahui orang lain. Kebimbangan yang ada dalam hati ada tiga keadaan iaitu:

1. Ragu-ragu untuk mengerjakan sesuatu yang sudah jelas dalilnya, maka tercela.

2. Ragu-ragu yang disebabkan kerana perbezaan ulama, tetapi salah satunya sudah jelas. Jika ragu untuk mengerjakan yang sudah jelas tersebut maka tercela.

3. Ragu-ragu yang disebabkan kerana perbezaan pendapat ulama, dan sukar untuk menentukan yang lebih benar. Jika meninggalkan amalan yang disebabkan kerana ragu-ragu seperti ini, maka ianya tidak tercela.

16 Oktober 2009

Hadits Ke-26 - Setiap Perbuatan Baik Adalah Sedekah

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Setiap sendi tulang manusia mesti disedekahkan setiap hari selagi matahari masih terbit. Mendamaikan dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, menolong orang hingga ia dapat naik kendaraan atau mengangkatkan barang bawaannya ke atas kendaraannya merupakan sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah kaki yang engkau langkahkan menuju ke masjid adalah sedekah dan membuang aral (rintangan, ranting, paku, kayu, atau sesuatu yang mengganggu) dari jalan juga merupakan sedekah.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

MENSYUKURI NIKMAT

Hadits ini sebagai perincian dari hadits ke-dua puluh lima. Bersedekah adalah wujud dari mensyukuri nikmat. Seluruh anggota badan harus menunaikan syukur atau terima kasih.

Mensyukuri nikmat ada dua bahagian, wajib dan sunat. Syukur yang wajib iaitu setiap hari menggunakan seluruh anggota badan untuk menunaikan kewajipan, dan tidak digunakan untuk yang haram. Syukur yang sunat iaitu melaksanakan hal-hal yang sunat setelah yang wajib. Syukur yang sunat boleh diwakili hanya dengan mengerjakan solat dhuha dua rakaat.

14 Oktober 2009

Hadits Ke-25 - Bersedekahlah

Dari Abu Dzar radhiallahu ‘anhu dia berkata: Ada sekelompok sahabat Rasulullah melaporkan, “Wahai Rasulullah orang-orang kaya telah memborong pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami puasa, namun mereka dapat bersedekah dengan kelebihan hartanya.” Beliau bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu apa-apa yang dapat kamu sedekahkan? Sesungguhnya pada setiap tasbih ada sedekah, pada setiap tahmid ada sedekah dan pada setiap tahlil ada sedekah, menyuruh kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan mendatangi (jimak) isterimu juga sedekah.” Mereka bertanya. “Wahai Rasulullah, apakah jika seseorang memenuhi kemahuan syahwatnya itu pun mendatangkan pahala?” Beliau bersabda, “Apa pendapatmu, bila ia ditempatkan pada tempat yang haram, bukankah ia berdosa? Demikian pula bila ia ditempatkan pada tempat yang halal, ia akan mendapatkan pahala.” (HR. Muslim)

Sedekah

Sedekah adalah memberikan kebaikan kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Dengan demikian Sedekah maknanya luas mencakupi seluruh kebaikan, berupa perkataan atau perbuatan.

Berpahala Apabila Menunaikan Syahwat

Ulama berbeza pendapat, apakah pahala menunaikan syahwat pada isteri diperolehi tanpa niat, atau mesti dengan niat. Jumhur ulama berpendapat, mesti disertai dengan niat meninggalkan hal-hal yang haram, mencukupkan diri dengan yang harus berdasar kaedah hadits yang pertama.

09 Oktober 2009

Hadits Ke-24 - Larangan Melakukan Kezaliman

Dari Abu Dzar Al-Ghifari radhiallahu ‘anhu dari Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda meriwayatkan firman Allah ‘Azza wa Jalla, bahawa Dia Berfirman, “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku mengharamkannya pula atas kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua tersesat, kecuali orang yang Aku beri hidayah, maka mintalah hidayah itu kepada-Ku, nescaya kuberikan hidayah itu kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu lapar, kecuali orang-orang yang aku beri makan, maka mintalah makan kepada-Ku, nescaya Aku berikan makanan itu kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu adalah orang-orang tidak berpakaian, kecuali orang-orang yang telah Kuberi pakaian, maka mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya Aku berikan pakaian itu kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu sentiasa berbuat dosa di malam dan siang hari sedangkan Aku akan mengampuni semua dosa, maka mintalah ampun kepada-Ku, nescaya Aku Mengampuni kamu semua. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu tidak dapat mendatangkan kemanfaatan bagi-Ku sehingga tidak sedikit pun kamu memberi manfaat bagi-Ku. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu semua tidak akan dapat mendatangkan bahaya bagi-Ku sehingga tidak sedikit pun kamu dapat membahayakan-Ku. Wahai hamba-hambaKu, andaikan kamu semua dari yang awal sampai yang terakhir, baik dari bangsa manusia maupun jin, semuanya bertaqwa dengan ketaqwaan orang yang paling taqwa di antara kamu, hal itu tidak menambah sedikit pun dalam Kerajaan-Ku. Wahai hamba-hambaKu, andaikan kamu semua dari yang awal sampai yang terakhir, baik dari bangsa manusia maupun bangsa jin, berdiri di atas satu dataran lalu meminta apa pun kepada-Ku, lalu aku penuhi semua permintaan mereka, hal itu sedikit pun tidak mengurangi Kekayaan yang Aku miliki, hanya seperti berkurangnya air lautan ketika dimasuki sebatang jarum jahit (kemudian diangkat). Wahai hamba-hambaKu, semua itu perbuatan kamu yang Aku hitungkan untuk kalian, kemudian Aku membalasnya kepada kamu. Maka barang siapa mendapatkan kebaikan, hendaklah ia memuji Allah, dan barang siapa mendapatkan selain itu, hendaklah ia tidak mencela kecuali dirinya sendiri.”

(HR. Muslim)

HADITS QUDSI

Hadits Qudsi adalah firman Allah yang disampaikan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam yang bukan Al Quran. Ulama berbeza pendapat tentang lafaz hadits Qudsi, sebahagian berpendapat lafaznya dari Allah, sebahagian yang lain berpendapat maknanya dari Allah, adapun lafaznya dari Rasulullah sholallahu ‘alaihi wa sallam

KEZALIMAN

Kezaliman adalah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Kezaliman ada dua martabat, iaitu menzalimi diri sendiri, dan menzalimi orang lain. Menzalimi diri sendiri ada dua bentuk iaitu syirik, dan perbuatan dosa atau maksiat. Menzalimi orang lain adalah menyia-nyiakan atau tidak menunaikan hak orang lain yang wajib ditunaikan.

HIDAYAH

Hidayah ada dua macam iaitu Hidayatul Irsyad dan Hidayatut Taufiq. Hidayatul Irsyad adalah ilmu dan penjelasan. Hidayatut Taufiq adalah amal terhadap ilmu atau ittiba’.

05 Oktober 2009

Hadits Ke-23 - Kebersihan Separuh Dari Keimanan

Dari Abu Malik Al-Harits bin Ashim Al-Asy’ari radhiyallaahu ‘anhu, Dia berkata: Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda, “Kebersihan adalah separuh dari keimanan, ucapan ‘Alhamdulillah’ akan memenuhi timbangan, ‘Subhanallah walhamdulillah’ akan memenuhi ruangan langit dan bumi, solat adalah cahaya, dan sedekah itu merupakan bukti, kesabaran itu merupakan sinar, dan Al Quran itu merupakan hujjah yang akan membela atau menuntutmu. Setiap jiwa manusia melakukan amal untuk menjual dirinya, maka sebahagian mereka ada yang membebaskannya (dari siksaan Allah) dan sebahagian lain ada yang menjerumuskannya (dalam siksaan-Nya).”

(HR Muslim)

Kedudukan Hadits

Hadits ini sangat agung kerana kata-katanya sangat menyentuh jiwa. Jiwa yang sihat pasti akan tersentuh dengan hadits ini dan terlahirlah ketaatan.

Kebersihan Adalah Separuh Dari Keimanan

Ulama berbeza pendapat tentang makna kebersihan merupakan separuh dari keimanan. Dua pendapat yang paling terkenal adalah:

Kebersihan diertikan dengan suci dari najis maknawi, iaitu dosa-dosa, baik dosa dalaman atau batin mahupun dosa luaran atau zahir. Kerana iman ada dua bentuk, iaitu meninggalkan dan melakukan, maka dikala sudah meninggalkan dosa-dosa bererti sudah memenuhi separuh iman.

Bersih diertikan dengan bersuci dengan air. Bersuci dengan air ada dua macam, iaitu suci dari hadas kecil dan hadas besar. Bila suci diertikan dengan suci dari hadas kecil dan hadas besar maka yang dimaksudkan dengan iman adalah solat. Jadi bersih itu separuh dari kesucian solat. Solat dikatakan sebagai iman kerana merupakan pokok amalan iman.

“Alhamdulillah” Memenuhi Timbangan

“Alhamdulillah” adalah pujian bagi Allah atas seluruh kesempurnaan-Nya. Allah Maha Terpuji dalam lima hal sebagai berikut :

1. Terpuji kerana kesempurnaan rububiyah-Nya.

2. Terpuji kerana kesempurnaan uluhiyah-Nya.

3. Terpuji kerana kesempurnaan asma dan sifat-Nya.

4. Terpuji kerana kesempurnaan takdir-Nya.

5. Terpuji kerana kesempurnaan syariat-Nya.

“Alhamdulillah” memenuhi timbangan dapat diertikan dengan dua penafsiran iaitu :

Amalan yang lainnya diletakkan dalam timbangan terlebih dahulu kemudian “Alhamdulillah”, maka penuhlah timbangan amal semasa hari amalan ditimbang kira di atas Mizan Allah.

”Alhamdulillah” sebagai pasangan dari “Subhanallah”. Agama akan menjadi lengkap dan sempurna jika disertakan dengan dua perkara iaitu itsbat dan tanzih. “Alhamdulillah” merupakan itsbat dan “subhanallah” merupakan tanzih. Maka jika “SubhanAllah” diletakkan dalam timbangan kemudian baru “Alhamdulillah” penuhlah timbangan.

Solat Sebagai Nur, Sedekah Sebagai Burhan dan Sabar Sebagai Dhiya'

Nur adalah cahaya yang tidak memancarkan sinar. Burhan atau bukti adalah cahaya yang memancarkan sinar namun tidak menyengat. Dhiya’ atau Penerang adalah cahaya yang memancarkan sinar yang menyengat, dan membakar.

Solat dikatakan sebagai nur kerana di dalamnya terdapat ketenangan. Sedekah dikatakan sebagai burhan, kerana di dalamnya terdapat kesungguhan dalam membuktikan keimanan. Sabar dikatakan sebagai dhiya’ kerana di dalamnya terdapat penerang atau penyuluh dari bukti keimanan yang amat sangat.

Al Quran

Panduan dan Petunjuk Utama Bagi Orang-Orang Yang Beriman

Mengenai Saya

Foto saya
Ipoh, Perak, Malaysia
aku, insan kerdil yang selalu berdosa. namun aku sentiasa mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah .... Saya berketurunan Jawa tapi bukan PTI yaaa... saya lahir dan dibesarkan di Malaysia ....